Thursday, July 21, 2016

RR ikon: Bila Seni Catan Berbisik

rr-ikon-awang-damit-ahmad

Mengapa seni catan jadi pilihan? Dan mengapa abstrak?
Saya memilih seni catan kerana memperolehi kemahiran dan memahami bahasa seni catan dengan baik. Seni Abstrak memberi lebih ruang untuk saya melahirkan dan menyatakan idea dengan baik melalui kesan emosi dan kejiwaan. Seni catan bagi saya ada kaitan dengan puisi. Satu pernyataan senyap tetapi mengesankan. Ia berbisik sekaligus menyatakan dirinya dalam bahasa yang tersendiri.

Aliran abstrak pilihan Prof?
Aliran Abstrak Ekspresionisma tetapi terkawal.

Boleh Prof rumuskan tentang empat siri catan bermula Essence Of Culture, Marista, Iraga, Paya Rama?
Siri pertama: EOC (essence of culture). Berbicara mengenai budaya dan juga persekitaran tempatan . Pada mulanya saya meminjam imej-imej dari suku bangsa Kadazan Dusun dimana saya sendiri dari campuran darah etnik tersebut. Pada tiga suku terakhir siri EOC saya mula mencari dan mengolah ikon dan simbol sendiri. Siri mengambil masa selama 10 tahun (1985-1995) untuk disempurnakan. Siri kedua ialah Marista, banyak berbicara tentang kehidupan masa lampau saya dari dua latar belakang  yang saling berkait iaitu petani dan nelayan dalam menampuh kehidupan yang sukar sekitar tahun-tahun 60an dan 70an. Siri ketiga IRAGA mengenai tiupan angin /ombak dari Laut China Selatan yang membawa  keadaan yang kurang menyenangkan kepada nelayan dan petani. Di sini saya melihat penderitaan yang terpaksa di tempuhi dengan kesabaran dan keredhaan.Siri keempat Payarama. Mengenai perubahan musim hujan, panas, kemarau dan kesannya kepada kehidupan. Di sini juga saya mula beralih kepada perubahan pendekatan dan teknik kepada yang lebih bebas dan cuba melepaskan diri aspek formalistik yang ketat.

rr-ikon-awang-damit-ahmad-2

Bagaimanakah gaya lukisan Prof berkembang dari mula sehingga hari ini?
Perubahannya sangat perlahan. Dari EOC ke Marista apa yang paling jelas ialah perubahan dalam warna. Dari karya yang kebanyakannya kelabu kepada warna-warna terang. Sapuannya juga agak agresif dan bertenaga dengan permukaan yang tebal dan berlapis-lapis. Dalam siri terbaru iaitu Payarama, perubahan yang ingin dicapai ialah  cuba melepaskan diri dari unsur-unsur konservatif yang ketat.

Kesukaran dan perjuangan untuk menjalani kehidupan menjadi major inspirasi kepada karya prof. Boleh jelaskan bagaimana pengalaman kesusahan menpengaruhi karya?
Ia mengalir ke dalam karya saya seperti bisikan puisi yang tidak perlu di ucapkan tetapi ia berbicara dengan senyap dan berjiwa.

rr-ikon-awang-damit-ahmad-3

Pengalaman paling berharga sepanjang menjadi painter.
Dualiti iaitu menjadi tenaga pengajar dan pada masa yang sama berkarya. Kekangan masa itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya.

Siapa Guru terbaik bagi Prof?
Di UiTM saya menemukan Ponirin Amin, seorang guru yang berdedikasi dan penuh dengan idea-idea kreatif. Di Amerika saya menemukan Tom Nakashima yang banyak merubah stail dan pendekatan karya saya.

Matlamat utama mewujudkan studio dan galeri di Sijangkang, Teluk Panglima Garang?
Sebahagian dari sumbangan kepada masyarakat setempat dan juga untuk  negara umumnya. Ia merupakan tempat yang terbuka dan boleh dikunjungi oleh setiap peminat karya seni.

Selain di galeri ini kepada, di mana lagi peminat seni boleh melihat karya prof? Ada pameran, acara, projek yang akan datang?
Karya saya boleh dilihat di simposium dan bengkel-bengkel antarabangsa di pusat-pusat lelongan dan  di BSVN.

rr-ikon-awang-damit-ahmad-1

The post RR ikon: Bila Seni Catan Berbisik appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.

No comments:

Post a Comment