Kesultanan Oman adalah sebuah negara kecil terletak di persisiran Tenggara Semenanjung Arab. Satu masa dulu ia pernah dikenal sebagai negara terpencil acap kali dilawati sebelum isolasi itu berakhir di bawah pemerintahan Sultan Qaboos. Kini Oman menjadi sebuah negara makmur dan cukup menarik untuk dilawati, industri pelancongan semakin pesat di negara itu.
Antara lokasi terkenal adalah Jabal Akhdar, terletak di kawasan pedalaman Al Dakhiliyah hanya mengambil masa 2 jam 30 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat dan kurang daripada satu jam dari Nizwa. Lokasi ini hanya boleh diakses melalui pacuan empat roda.
Pengalaman menginap di hotel Alila Jabal Akhdar yang dibina 2000 meter di atas paras laut menghadap spektakular gaung dikelilingi oleh pemandangan mengagumkan pergunungan Al Hajar pastinya meninggalkan 1001 memori terindah.
Seni bina Alila Jabal Akhdar menceduk teknik pembinaan tradisional Oman menggunakan batu tempatan digabungkan bersama seni bina kontemporari mewujudkan persekitaran unik dan santai. Antara ciri menarik hotel ini termasuk pintu kubu daripada kayu bercorak bunga mawar ikonik menghiasi lobi diilhamkan oleh bunga ros merah delima yang banyak tumbuh di kawasan ini. Perhiasan authentic yang sinonim dengan perhiasan tembaga, dan tembikar buatan tangan dari Bahla menghiasi hotel. Kawasan hotel juga mempunyai sistem air aflaj, mencerminkan sistem tradisional saluran pengairan di Oman.
Gastronomi di Alila Jabal Akhdar ini tidak kurang hebatnya, pengaruh Timur Tengah ke rantau Mediterranean membuatkan menu di sini membolehkan pengunjung menikmati hidangan dari alur zaman kegemilangan masakan arab di Restoran Juniper. Ruang santai Rose Lounge menghidangkan minuman dan makanan ringan. Ketika matahari terbenam di belakang gunung, di sini adalah tempat menarik untuk berehat dalam suasana biasan cahaya jingga menyediakan suasana tenang.
Bagi pengunjung yang ingin membelai tubuh, Spa Alila menyediakan rawatan unik menggabungkan teknik penyembuhan kuno Asia dengan resipi kecantikan lama menampilkan manfaat penyembuhan, bahan-bahan kualiti semula jadi segar untuk merehatkan minda dan badan.
Jauh daripada kesibukan kehidupan moden, Alila Jabal Akhdar menawarkan lokasi melarikan diri untuk bersendirian bersama alam semula jadi, menghirup udara segar dan menikmati pemandangan menakjubkan. Selain diberkati dengan pemandangan menakjubkan, kawasan sekitar Alila Jabal Akhdar adalah pusat kebudayaan Oman. Dikenal sebagai “The Pearl of Islam”, Nizwa merupakan salah satu bandar tertua di Oman, bekas ibu kota kuno yang menjadi salah satu tempat berkumpul cendekiawan dan kubu kuat para pemimpin. Hari ini kekayaan peninggalan sejarah masih boleh dilihat dalam pelbagai bukti kubu purba, istana, masjid dan tapak warisan UNESCO.
www.alilahotels.com
The post A WALK TO REMEMBER appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.
No comments:
Post a Comment