Friday, July 15, 2016

RR Makan-Makan: Hidangan Autentik Melayu

rebung

Makan tengah hari dengan menu utama nasi serta lauk pauk Melayu seperti gulai lemak daging salai, siput masak lemak dan asam pedas, kari sudah tentu memberi kepuasan dan rasa kenyang hingga ke petang. Itu belum ditambah dengan menu patin masak tempoyak cara orang Negeri Sembilan.

rebung-3

Cukup membayangkan keenakan hidangan ini di depan mata, team RRenovation memandu dari pejabat di Shah Alam menuju ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur demi memenuhi hajat hati untuk menikmati hidangan lauk pauk Melayu di Restoran Rebung. Tidak sukar untuk menjejak lokasi baru Restoran rebung ini terletak di tingkat lima bangunan parkir bertingkat berhadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

rebung-1

Sejak dahulu, Restoran Rebung tidak pernah kurang menerima kunjungan penggemar air tangan chef Ismail Ahmad. Restoran yang baru berpindah pada Januari 2016 lebih  besar berbanding restoran asal di Bangsar sebelum ini. Restoran Rebung boleh memuatkan sehingga 500 tetamu dalam satu masa. Cukup luas bagi yang mencari lokasi makan tengahari bersama rakan pejabat atau penganjuran acara dan majlis.

rebung-5

Sudah singgah di Restoran Rebung ini, tidak lengkap rasanya jika tidak mengambil menu rebung dengan perut untuk dinikmati bersama nasi kerabu. Di kawasan luar, beberapa pondok kecil menawarkan hidangan seperti laksa, nasi impit, rendang dan banyak lagi. Jangan lepaskan peluang menikmati hidangan pencuci mulut seperti pulut durian, wajik dan dodol.

Ketika ramai pemilik restoran kini mengubahsuai hiasan dalaman dengan konsep yang menjadi trend seperti industrial, scandinavia, hipster, sebaliknya Chef Ismail Ahmad, pemilik restoran Rebung ini memilih konsep Rumah Kolonial Melayu untuk restorannya.

Siapa sangka, ada diantara dekorasi seperti talam, pintu dari kayu berlian yang digunakan sebagai hiasan telah berusia lebih dari 100 tahun. Bagi anak kelahiran Kampung Chengkau Hulu Kota Rembau Negeri Sembilan ini, item ini mengingatkan tentang siapa asal usulnya serta keakrabannya dengan budaya Melayu.

rebung-4

Ruang disepanjang kawasan luar Restoran Rebung digunakan oleh Chef Ismail untuk menaman tumbuhan herba dan tanaman yang biasa digunakan untuk masakan Melayu seperti daun kesum, tenggek burung, mengkudu, cermai, pokok putat dan banyak lagi yang mungkin ramai tidak pernah melihatnya.

rebung-6
Dodol, antara manisan enak yang disediakan segar setiap hari oleh Chef Ismail istimewa buat pengunjung Restoran Rebung.

Jika pengunjung setianya ketika di restoran Bangsar sanggup ikut berpindah menukar lokasi makan tengahari di Taman Botani Kuala Lumpur, rugi jika orang berkerja atau tinggal berdekatan tidak cuba hidangan di sini. Luangkan masa anda untuk menikmati hidangan autentik Melayu di Restoran Rebung, anda pasti kembali untuk kali kedua dan seterusnya.

http://ift.tt/1eja6nS

The post RR Makan-Makan: Hidangan Autentik Melayu appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.

No comments:

Post a Comment