Tuesday, August 9, 2016

RR Selebriti: Sinar Cinta DJ Lin

rr-dj-Lin-2

Bagi pendengar slot Suria Cinta bersiaran di Suria FM pada pukul 8 malam sehingga 1 pagi, rasanya tidak asing lagi dengan suara penyampainya Roslinda Abdul Majid. 16 tahun jatuh bangun demi cinta terhadap kerjaya sebagai penyampai radio, baru-baru ini DJ Lin menang kategori Penyampai Radio Popular Anugerah Berita Harian tahun 2016. Kejayaan itu bukan alasan untuk mengubah diri DJ Lin menjadi Diva. Beliau masih sama seorang penyampai radio yang peramah dan merendah diri bersama pendengar dan ibu yang penyayang bila bersama dua anaknya di rumah.

Mengejar jadual harian yang padat, bagaimana DJ Lin berehat?
Memang sekarang jadual saya semakin sibuk dengan shooting. Tanggungjawab sebagai Penolong Pengurus Program di Suria FM pula menuntut saya untuk masuk ke pejabat dari 3 petang hingga 1 pagi setiap hari. Saya cuba untuk tidur awal bila di rumah sebelum bangun awal esok pagi bagi menyiapkan anak anak kesayangan saya ke sekolah. Jadi rumahlah tempat saya berehat.

Apa yang DJ Lin suka tentang rumah yang didiami sekarang?
Kediaman sekarang adalah kondominium 3 bilik. Sudah enam tahun tinggal di sini bersama anak. Saya suka ruangnya yang luas memanjang hingga ke beranda dan menghadap Bandaraya Kuala Lumpur dengan spektakular menarik seperti KLCC dan bangunan tinggi yang lain. Cantik pada waktu malam. Kalau saya penat selepas bekerja, saya akan berdiri di sini untuk mencari ketenangan dan ilham. Saya akan memastikan rumah sentiasa bersih dan segar, memang saya agak cerewet tapi itu untuk keselesaan diri dan keluarga.

Kediaman impian  DJ Lin?
Saya mengimpikan kediaman atas tanah yang ada halaman hijau dan privacy contohnya banglo atau rumah teres seperti rumah emak di JB kerana mahu kembali  merasai suasana sama dari zaman kanak kanak hingga dewasa. Memandangkan saya ini memang jiwang orangnya, saya mahu konsep hiasan dalaman romantis selain adakan sebuah ruang khas sebagait tempat mencari ilham bermadah. Hiasan bilik anak biarlah mengikut cita rasa mereka.

rr-dj-Lin-1

Ruang paling digemari?
Dapur, sebab saya seorang yang suka memasak. Sebagai wanita, saya percaya walau setinggi manapun pencapaian kita dalam bidang kerjaya, memasak adalah keperluan dan menjadikan kita lebih sempurna. Jika ada masa terluang, saya akan menyediakan hidangan kami bertiga. Walau tidak dapat selalu melakukannya, saya masih mahu anak  merasa air tangan ibu mereka.

Pendapat DJ Lin tentang keperluan memiliki hartanah kediaman?
Memiliki hartanah kediaman merupakan satu keutamaan dalam hidup dan juga boleh dijadikan satu pelaburan. Memang akan bersusah diawalnya tapi fikirkan tentang kemanisan serta jaminan untuk masa hadapan. Rumah boleh menjadi harta kukuh untuk diwarisi anak.

Ditanya tentang sambutan raya tahun ini, DJ Lin dan dua anaknya pulang beraya di rumah ibunya di Larkin Jaya, Johor Bahru. Dalam kesederhanaan persiapan buat keluarganya, mereka bergaya sedondon dengan baju raya bertema royal blue dan metallic pink. DJ Lin juga mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang menghadiahkan kuih raya setiap tahun.

The post RR Selebriti: Sinar Cinta DJ Lin appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.

No comments:

Post a Comment