Bila waktu sesuai untuk pemilik rumah menukar dekorasi ruang tamu?
Jika ada bajet lebih apa salahnya kalau ingin menukar sekerap manapun. Tapi jangan jadikan ia satu bebanan jika tidak mampu. Cukuplah menukar apabila mahu suasana baru untuk menyuntik kembali gaya hidup dan rutin harian yang terasa sama setiap hari dan pudar. Mencipta persekitaran baru adalah salah satu cara memastikan diri sentiasa terasa segar dan bertenaga.
Perkara yang perlu diberi perhatian sebelum merancang ubah suai?
Elakkan pembaziran, tidak perlu mengubah ruang tamu dengan membeli set perabot baru untuk menggantikan yang lama. Guna kreativiti untuk kekalkan barang sedia. Saya sangat percaya setiap barang mempunyai nilai yang tinggi, asalkan tahu memanipulasi ia berupaya mencipta ruang baru yang segar.
Antara cara cipta ruang baru yang segar menggunakan set perabot lama?
Contohnya paling mudah ubah kedudukan sofa. Jika sebelum ini sofa disusun secara layout C, cuba tukar susunan sofa pada kedudukan saling berhadapan dengan meja kopi diletakkan di tengah. Kedengaran senang, tapi cara ini memberi kesan rasa suasana baru tanpa perlu bajet yang tinggi.
Cadangan peruntukan untuk bajet yang rendah?
Bajet yang ada boleh diperuntukkan untuk memasukkan elemen dekorasi seperti bantal hiasan dan alas meja dengan warna yang lebih ceria. Ianya cuma barangan kecil, tapi impak yang diberikan sangat kuat untuk menyerikan ruang. Beli bunga segar dan tempatkan di sudut yang selalu menjadi tumpuan seperti di atas meja kopi, meja sisi atau konsol televisyen.
The post RR Tips appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.
No comments:
Post a Comment