Friday, July 29, 2016

RR Destinasi: Shanghai Dari Kaca Mata The Waterhouse

waterhouse_building

Hotel Butik The Waterhouse at South Bund terletak di tebing Sungai Huangpu Shanghai. Merangkumi 19 bilik tamu, restoran, bar atas bumbung dan ruang majlis serba guna cukup luas dan selesa, penginapan ini memberi nafas baru ke dalam pembangunan hotel butik di Shanghai. Hotel butik The Waterhouse at South Bund berasal daripada bangunan lama tahun 1930-an. Pengubahsuaian dilakukan oleh Pejabat Penyelidikan dan Neri & Hu Design, salah satu nama Pereka terkemuka dalam seni bina di China. Pejabat Penyelidikan dan Neri & Hu Design  mengubahsuai sepenuhnya bangunan lama ini tetapi masih mengekalkan fasad asal.

Pereka Lyndon Neri dalam menerangkan aspirasi reka bentuk The Waterhouse berkata “ini adalah sebuah hotel yang memberi ruang kepada pelancong dalam menghargai seni bina dan rekaan  penuh makna dan bukan hanya komponen gaya hidup mewah semata-mata”.  Hotel ini menawarkan pemandangan indah latar langit Pudong, menyaksikan warisan seni bina bertingkat rendah menarik di bandar yang sebahagian besarnya masih terpelihara tidak terjejas oleh perubahan masa. The Waterhouse at South Bund berbangga dapat berintegrasi dalam persekitaran tradisi tempatan namun dalam masa sama menyuntik elemen baru dalam bandar dengan mengadukkan konsep antik serta kontemporari.

waterhouse_exterior

Menjadi tulang belakang projek seni bina ini,  Pejabat Penyelidikan dan Neri & Hu Design menggunakan kepakaran serta kemahiran tinggi mereka bentuk The Waterhouse dengan cukup sempurna dan mengagumkan.  Cabaran mereka bentuk bangunan lama yang mempunyai rangka konkrit besar dengan begitu banyak tangga membawa haluan ke pelbagai arah memberi satu cabaran kepada Pereka untuk menghasilkan hotel butik cukup indah dan sempurna ini. Tidak menyangkal Pejabat Penyelidikan dan  Neri & Hu Design berjaya mengubahnya menjadi 19 bilik tamu, bar atas bumbung serta restoran yang menarik.   

Meski pun mengubah sepenuhnya keseluruhan bangunan tahun 1930-an ini masih mengekalkan fasad asal. The Waterhouse at South Bund yang  menghadap satu bahagian spektakular, menarik di Shanghai yang dipenuhi banyak bangunan kedai warisan dengan seni bina di bandar ini. Tata rias 19 bilik tamu direka berbeza, tetapi mempunyai keseragaman beberapa ciri seperti lantai kayu dan katil oak, bilik mandi konkrit dengan dinding kaca tebal serta meja dan kabinet siap pasang di sepanjang dinding putih membentuk elemen santai. Cermin serta anak tangga daripada bahan berasaskan logam menjadikan sebahagian besar bangunan ini menonjol dengan ciri persendirian lebih tenang dan santai. Manakala beberapa bilik direka dengan pelantar berciri peribadi memberi keselesaan penginap. Kamar lain direka dengan platform cermin pandang tembus bagi membuka ruang kepada penghuni untuk menikmati pemandangan spektakular lot kejiranan dan menangkap sekilas pandangan ke arah Sungai Huangpu.

waterhouse_white_room_1

Terdapat beberapa jenis bilik iaitu Copula 1, River Junior Courtyard, Bund Junior, Courtyard Suite, Bund Suite, Terrace Suite dan River Suite semuanya mempunyai ciri persendirian dan keunikan. Setiap bilik dilengkapi kemudahan peti deposit keselamatan, penghawa dingin, akses Wi-Fi, televisyen skrin lebar, bar mini, pengering rambut, kemudahan membuat teh, mesin espresso illy, stereo dengan jam penggera dan stesen iPod, menarik bukan kelengkapan sebegini sudah pasti memberi keselesaan terbaik.

Berada pada kedudukan membolehkan penghuni menikmati suasana Courtyard, Copula 1 merupakan  ruang bilik berkeluasan 18 meter persegi, dilengkapi katil bersaiz queen, boleh digabungkan menjadi dua bilik tidur dengan dua bilik mandi, sesuai untuk yang berkeluarga dan selesa untuk kumpulan empat orang penghuni.

River Junior Courtyard, ruang bilik seluas 24 hingga 29 meter persegi, dilengkapi katil bersaiz queen ini adalah pilihan tepat bagi penghuni yang mahu beristirehat sambil mencuci mata ke arah pemandangan sungai Huangpu. Selain River View Courtyard, bilik Bund Junior dan River Suite juga berada pada kedudukan membolehkan penghuni  menikmati suasana sungai. Bezanya, kedua-dua bilik ini lebih luas berbanding River Junior Courtyard. Bund Junior berkeluasan 30 meter persegi yang dilengkapi katil bersaiz queen juga menarik untuk penginap. Manakala River Suite mempunyai ruang bilik 44 meter persegi dilengkapi katil bersaiz king.

waterhouse_interior

Sementara itu, Courtyard Suite merujuk kepada bilik yang direka dengan pemandangan ke arah halaman. Courtyard Suite mempunyai ruang bilik berkeluasan  33 – 55 meter persegi, dilengkapi katil  bersaiz king. Rekaan ruang santai kecil selesa berfungsi membahagikan ruang tamu dari bilik tidur. Terrace Suite pula mempunyai ruang bilik 40 meter persegi, dilengkapi dengan katil bersaiz queen. Ia mempunyai teres yang luas berkeluasan 17 meter persegi dan menawarkan pemandangan ke arah halaman.

waterhouse_white_room

Jika mahu menyaksikan pemandangan bandar, Bund Suite adalah pilihan sesuai. Ruang bilik berkeluasan 40  hingga 43 meter persegi ini dilengkapi katil bersaiz king serta  bilik air yang mempunyai pilihan tab mandi selesa dengan tingkap direka membingkaikan panorama ke arah menara Xujiahui Financial District.

waterhouse_room

Rekaan Hotel Butik The Waterhouse at South Bund menjadi satu pembaharuan kepada Shanghai. Pemilik hotel, Loh Lik Peng bermatlamat untuk mereka bentuk bangunan lama yang bukan sahaja boleh digunakan, tetapi juga cantik dan menarik untuk dikunjungi.

Lari dari konsep lama, The Waterhouse at South Bund adalah sebuah hotel diubahsuai semula menyongsang dari tetapan standard hotel biasa. Hasilnya adalah Hotel Butik yang menawarkan pengalaman menginap dengan memberi penekanan kepada faktor keselesaan dan mengetengahkan daya tarikan persekitaran Shanghai menjadikan The Waterhouse berbeza dari hotel butik lain di Shanghai.

http://ift.tt/2aiX6FO

The post RR Destinasi: Shanghai Dari Kaca Mata The Waterhouse appeared first on Malaysia Interior Design, Home-living Magazine.

No comments:

Post a Comment